# Tertakluk kepada pindaan
Kehidupan Hari Esok, Bermula Dari Sini. Berhenti Sejenak, Sebelum Terus Melangkah Untuk Memastikan Perjalanan Seterusnya Tiada Halangan. Semalam Yang Berlalu, Menjanjikan Seribu Kilauan Bintang Untuk Hari Yang Mendatang
Wednesday, June 19, 2013
Usaha-Usaha Menjaga Keselamatan Kawasan Kediaman Daripada Ancaman Jenayah
Sejak akhir-akhir ini, media massa sering memaparkan
berita tentang pelbagai kegiatan jenayah yang berlaku di seluruh negara.
Berleluasanya kegiatan ini sudah tentu akan menimbulkan kegelisahan atau kebimbangan
dan secara tidak langsung mencetuskan rasa tidak tenteram dalam masyarakat.
Antara kegiatan jenayah yang sering dilaporkan ialah rompakan, pecah rumah,
penculikan, ragut dan bunuh. Fenomena ini bukan sahaja berlaku di kawasan
bandar malah melibatkan kawasan kampong.
Menjaga keselamatan diri dan juga keselamatan kawasan
kediaman merupakan tanggungjawab yang perlu dipikul oleh semua pihak. Sikap
saling membantu, bekerjasama dan keprihatinan akan dapat mewujudkan satu
komuniti yang seia sekata dan dapat hidup dalam suasana aman dan harmon. Setiap
penduduk perlulah memastikan rumah mereka dilengkapi dengan ciri-ciri
keselamatan seperti gril, kamera litar tertutup (cctv), loceng amaran dan
sebagainya. Sebelum meninggalkan rumah,
setiap penduduk perlu memastkan pintu rumah dan pintu pagar telah dikunci
dengan rapi. Jika hal ini dilakukan, pastilah kediaman kita akan selamat
daripada ancaman jenayah.
Selain itu,
pihak berkuasa iaitu pihak polis perlulah melakukan rondaan secara berkala
disemua kawasan kediaman terutamanya di kawasan yang berisiko berlakunya
kejadian jenayah. Rondaan perlu dilakukan lebih kerap pada waktu penduduk
sedang bekerja dan juga pada waktu malam. Pemantauan yang berterusan ini akan
menutup ruang dan peluang kepada penjenayah untuk melakukan perbuatan tidak
bermoral mereka. Sikap sudah terhantuk baru terngadah amatlah dikesali.
Janganlah bila sudah berlaku kejadian jenayah, barulah kita mahu bertindak.
Di samping itu,
penduduk perlu menggerakkan pasukan rukun tetangga bagi mengawasi kawasan
kediaman mereka. Permuafakatan yang jitu dalam kalangan penduduk sudah pasti
dapat mengelakkan kawasan kediaman mereka daripada ancaman jenayah. Penduduk
perlu menyediakan jadual waktu bertugas untuk melakukan rondaan bagi mengawasi
seluruh kawasan kediaman mereka. Sikap saling membantu bagai aur dengan tebing
akan mendatangkan kesan positif kepada semua masyarakat. Jika hal ini dapat
dilakukan dengan sempurna, sudah pasti ancaman jenayah dapat dibanteras.
Peranan jiran tetangga juga penting dalam usaha untuk
menjadikan kawasan kediaman bebas daripada ancaman jenayah. Sikap jujur, amanah
dan bertanggungjawab harus ada dalam jiwa semua jiran. Jika kita hendak pergi
bercuti, kita boleh meninggalkan kunci rumah kepada jiran tetangga untuk mereka
membantu mengawasi dan menjaga rumah kita. Jika ini dapat direalisasikan, sudah
pasti rumah kita akan selamat.
Daripada
huraian di atas, sudah terang lagi bersuluh, semua pihak perlu bekerjasama
untuk memastikan kawasan kediaman selamat. Sikap bagai enau dalam belukar,
melepaskan pucuk masing-masing perlu dikikis dalam jiwa masyarakat. Menjaga
keselamatan kediaman kita perlu diberi keutamaan. Keselamatan kawasan kediaman
akan memastikan kehidupan kita sekeluarga juga akan selama
ISU PENDIKAN : Politik, nilai komersial punca pendidikan rosak
SHAH ALAM - Sistem pendidikan di negara Islam dilihat telah ‘dirosakkan’ oleh dua perkara iaitu akibat daripada politik dan nilai komersial.
Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Maszlee Malik berkata, dua faktor itu yang mana akhirnya menjadikan para pelajar mangsa.
"Permainan politik di negara Islam, yang mana terdapat banyaknya kelompongan dan ketirisan seperti gejala rasuah dalam pendidikan sedikit sebanyak telah menjejaskan sistem pendidikan di negara islam tersebut.
"Manakala sistem pendidikan yang terlalu berorientasikan nilai komersial sehingga mengetepikan nilai kemanusiaan juga telah menjejaskan sistem pendidikan tersebut," katanya ketika menjadi panel Forum Pedagogi Pendidikan Cinta anjuran sukarelawan Teach For The Needs (TFTN) di Kompleks Karangkraf, di sini, malam semalam.
Forum itu turut menampilkan penulis buku best seller 'Aku Terima Nikahnya' Hasrizal Jamil dan Pakar Perunding Obstetriks & Ginekologi, Dr Harlina Siraj manakala moderatornya, Pengarah Eksekutif TFTN, Anas Alam Faizli.
Mengulas mengenai sistem pendidikan yang sedia ada, Dr Maszlee turut mendakwa ia melatih dan menghasilkan pelajar yang menjadi hamba kepada kehendak pasaran.
"Sistem pendidikan sedia ada melatih pelajar ke arah menjadikan mereka hamba pasaran.
"Universiti menjadi kilang untuk menghasilkan robot bagi mendapatkan hasilnya," katanya
Menyentuh perkara yang sama Dr Harlina Siraj juga, mengatakan bahawa cara mendidik yang terbaik ialah dengan mengajar sepenuh hati, jujur dan sabar.
Dalam pada itu beliau turut menekankan objekif pendidikan mestilah berpaksikan kepada nilai-nilai tersebut untuk menghasilkan perubahan atas seseorang pelajar tersebut.
Menyentuh perkara ini, Dr Harlina turut menggariskan lima perubahan yang perlu diberi penekanan atas seseorang pelajar meliputi aspek akidah, akhlak, aqliah, insaniah dan jasmani.
"Bagi saya penekanan kepada lima aspek ini penting, seandainya kita serius untuk melahirkan pelajar yang berjaya," katanya.
Menurut Dr Maszlee lagi, peranan pendidik yang bukan sahaja terletak pada bahu guru semata-mata sebaliknya terletak pada setiap bahu masyarakat Islam.
Sementara itu beliau turut mengulas mengenai pentingnya elemen kasih sayang dalam sistem pendidikan sedia ada sekiranya serius untuk melahirkan masyarakat terbaik pada masa akan datang.
"Segalanya bermula dengan kasih sayang. Cinta itu membawa makna yang luas. Dengan adanya elemen kasih sayang, saya percaya pelajar kita akan jatuh cinta kepada ilmu," katanya.
Manakala menurut Dr Harlina, ilmu perlu diterap supaya masyarakat pentingkan ilmu.
"Perasaan dahagakan ilmu itu perlu diterap oleh setiap ibu bapa kepada anak masing-masing.
"Jangan jadikan menuntut ilmu sebagai satu bebanan," katanya.
Sumber : http : //www.sinarharian.com.my/
ISU BAHASA : Di sini langit dijunjung
KELANTANGAN FELO Penyelidik Utama Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), PROF. DATUK DR. TEO KOK SEONG yang sering sahaja menggesa orang Cina memperkasakan penggunaan Bahasa Melayu dalam pendidikan dan pertuturan sering sahaja ‘menghangatkan’ mereka yang tidak bersetuju dengannya.
Maka adalah tidak menghairankan ketika dalam wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, HAFIZAHRIL HAMID, beliau meluahkan menerima pelbagai kecaman, cercaan dan kata nista yang adakalanya di luar batasan.
Namun sudah menjadi satu tanggungjawab baginya untuk terus lantang dan tidak sesekali gentar dengan cemuhan bagi terus memperjuangkan bahawa semua bangsa di negara ini perlu belajar dan bertutur Bahasa Melayu dengan baik malah akan mempertahankannya jika ada pihak yang cuba menggagalkannya.
Terbaru beliau mengecam tindakan Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) sebagai melampau kerana bersikap keterlaluan dalam melindungi bahasa Cina selain menyatakan tidak ada negara lain di dunia yang membenarkan kaum Cina terus hidup sebagai 'Cina' kecuali di Malaysia.
Kok Seong juga mahu pertubuhan itu berhenti membuat tuntutan melampau sebaliknya menggunakan pendekatan mengambil kira resam 'di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung'.
Kita hidup di Malaysia dan adalah perlu untuk mereka mengikut adat resam dan budaya tempatan dan berdiri sebagai satu bangsa yang berbangga dengan jati diri Malaysia tanpa perlu mengorbankan identiti sebagai orang Cina," kata beliau.
MINGGUAN : Pada pandangan Datuk kenapa Dong Zong terlalu bertegas dalam mempertahankan sekolah vernakular dan langsung tidak mahu bertolak ansur dalam hal ini?
TEO KOK SENG : Pertama sekali kita perlu memahami peranan dan kewujudan Dong Zong itu sendiri. Ia merupakan sebuah badan yang cukup berpengaruh melindungi bahasa Cina dalam pendidikan mereka. Kita boleh katalah mereka ini bertindak seolah-olah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tetapi untuk orang Cina. Bagaimanapun bagi saya perjuangan dan usaha mereka untuk melindungi bahasa Cina setelah kita mencapai kemerdekaan 56 tahun yang lalu adalah keterlaluan dan tidak selari dengan pepatah dimana bumi dipijak di situ langit dijunjung.
Sebab itu saya melihat dakwaan mereka bahawa dengan pelantikan menteri yang tidak fasih berbahasa Mandarin yang dibangkitkan Dong Zong baru-baru ini sebenarnya bukanlah satu isu besar. Saya melihat dakwaan mereka ini agak melampau sedangkan orang Cina yang tidak fasih bahasa Melayu langsung tidak diungkit. Orang Cina pun tidak pernah baiki keadaan ini. Ini sesuatu yang tidak baik, saya kira sudah waktunya perkara ini dibincangkan betul-betul sebab saya kira apa matlamat sebenar orang Cina hidup di Malaysia ini.
Keduanya saya melihat tindakan Dong Zong ini dalam kebanyakan hal adalah amat anti nasional kerana perjuangan mereka ini tidak mengambil kita kedudukan dan suasana di negara ini dan mereka sering bertelagah dengan parti MCA dan Gerakan. Bagi mereka kedua parti ini tidak mampu memperjuangkan isu sekolah Cina dan sering memperkecilkan fungsi dan peranan MCA dan Gerakan. Mereka juga sering menentang hasrat Kementerian Pendidikan sebelum ini yang berniat murni mahu menggalakkan perpaduan dan pembentukan jati diri kebangsaan di kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini. Mereka dilihat anti semangat nasional kerana enggan bekerjasama dalam membentuk sebuah negara bangsa yang bersatu padu dan jati diri kebangsaan. Dalam soal jati diri kebangsaan ini sama ada mahu atau tidak adalah perlu memasukkan simbol dan proses budaya Melayu kerana ia sudah dipersetujui dalam kontrak sosial. Maka adalah perlu bahasa Melayu ini ditegakkan kedudukannya kerana ia merupakan Bahasa Kebangsaan jadi sudah tentu kita tidak boleh menolaknya dalam apa jua cara.
MINGGUAN : Pada pandangan Datuk apakah sekolah vernakular ini wujud kerana kaum Cina ini takut kedudukan bahasa dan budaya Cina terhapus atau mungkin ada agenda lain seperti tidak mahu proses asimiliasi seperti di Indonesia dan Thailand berlaku?
TEO KOK SEONG : Saya tidak pasti apakah tindakan mereka ini pada awalnya kerana tidak mahu proses asimiliasi berlaku dan perlu dikaji hal sebenar tentang itu. Namun adalah tidak mustahil perkara ini yang menjadi asas kenapa perlunya sekolah vernakular. Kita maklum bahawa perjuangan mereka ini adalah untuk melindungi bahasa ibunda tetapi saya melihat tindakan mereka ini agak berlebih-lebihan dalam mempertahankan bahasa Cina sehingga mengenepikan kedudukan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Sudah tentu ia bukan sesuatu yang sihat untuk kita semua.
Namun bagi saya yang paling penting adalah kita perlu menekankan perpaduan di kalangan kaum ini kerana kita dapati selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) seolah-olah wujud semacam satu perseteruan politik yang jelas melibatkan pakatan pembangkang dan Barisan Nasional (BN). Dan perkara ini diburukkan lagi melalui tindakan pengundi Cina yang menolak BN kerana terpengaruh dengan dakwaan dan hasutan pembangkang yang bersifat perkauman dan akhirnya menjadi satu perpecahan dan permusuhan politik yang tidak berkesudahan. Saya sangat berharap supaya kita tidak lagi memudaratkan keadaan. Saya lihat Dong Zong perlu lebih bekerjasama tentang peranan menggalakkan lagi perpaduan antara kaum serta membentuk negara bangsa Malaysia yang bersatu padu.
MINGGUAN : Apakah Datuk melihat isu sekolah dan bahasa Cina ini sering digunakan sebagai senjata politik terutama pada setiap kali pilihan raya?
TEO KOK SEONG : Kita boleh anggap begitu kerana setiap kali pilihan raya timbul maka isu berkaitan ini akan dimainkan dan nampak reaksi daripada kerajaan yang dilihat lebih berlembut dalam pilihan raya baru ini. Agak malang apabila setelah kebanyakan kemahuan ini dituruti kita lihat sokongan dari orang Cina tidak memberangsangkan. Saya melihat permintaan Perdana Menteri yang menggesa supaya dilakukan penyatuan nasional adalah satu permintaan beliau yang mahu rakyat di negara ini berdamai demi untuk negara. Maksud perdamaian ini kita lihat melibatkan masyarakat Cina dan kerajaan kerana rata-rata mereka tidak menyokong kerajaan selain kaum-kaum lain yang menyokong pembangkang.
Saya juga melihat apa yang berlaku selepas PRU-13 ini agak mencemaskan serta memperlihatkan permusuhan yang agak ketara. Antara buktinya apa yang kita lihat di dalam media sosial yang menggunakan bahasa kesat dan menghina. Ini cukup jelas menggambarkan perasaan marah dan emosi yang wujud di kalangan rakyat yang cuba bermusuh dengan UMNO dan BN. Oleh itu agenda penyatuan nasional ini lebih kepada menyelesaikan perpecahan dan permusuhan politik dalam jangka waktu pendek. Ini kerana isu melibatkan orang Cina tidak boleh ditolak ketepi kerana kita sedia maklum bahawa mereka ini sudah melihat kemampuan kuasa yang ada pada mereka sama ada menyokong atau tidak menyokong kerajaan.
MINGGUAN : Tidakkah Datuk melihat jika perkara ini tidak ditangani dengan baik, sikap permusuhan dan sangsi antara kaum ini akan berterusan dari generasi ke generasi dan akhirnya agenda menyatupadukan antara kaum ini tidak akan tercapai sampai bila-bila?
TEO KOK SEONG : Perkara ini sudah tentu bukan satu perkara yang sihat. Malah saya melihat sehingga sekarang pelajar-pelajar di sekolah vernakular ini masih menebal dengan perkauman dan jati diri etnik mereka. Mungkin ini dilihat bagus kepada memelihara kebudayaan dan etnik Cina itu sendiri. Namun dalam keadaan negara majmuk dan orang Melayu itu adalah majoriti dan dominan sudah tentu perkara ini perlu diimbangi dengan jati diri kebangsaan. Dan apabila melibatkan jati diri kebangsaan sudah tentu ia perlu melibatkan simbol dan proses sosio budaya Melayu. Perkara ini yang kurang atau mungkin tidak ada sehingga mengakibatkan mereka kurang semangat kebangsaan seperti tidak boleh berbahasa Melayu malah ada yang tidak tahu apa pun tentang negara ini.
Bagi saya ini adalah sesuatu yang cukup malang kerana dalam soal kerakyatan dan kebangsaan adalah perlu bagi rakyatnya bersandar kepada bahasa dan budaya kebangsaan. Agak memalukan apabila ada warganegara Malaysia yang langsung tidak boleh berbahasa Melayu atau hanya sepatah dua sahaja. Oleh itu masyarakat Cina perlu melihat perkara ini secara serius. Sudah tentu Dong Zong tidak akan melakukan perkara ini kerana ia bukan sebahagian dari skop perjuangan mereka. Namun parti politik perlu melakukan sesuatu untuk menyelesaikan masalah ini sementara nasi belum menjadi bubur. Perkara ini adalah satu keperluan sekarang namun malangnya kita lihat sangat jarang pemimpin politik bercakap mengenai perkara nasionalisme kebangsaan ini.
MINGGUAN : Mungkin ini adalah satu pendekatan yang tidak popular?
TEO KOK SEONG : Memang perkara ini tidak popular dan saya mengambil contoh diri saya yang banyak menyentuh tentang perkara kepentingan bahasa Melayu di kalangan orang Cina, maka saya sering sahaja dicerca dan dimaki hamun oleh mereka. Saya juga telah membuat laporan polis tentang beberapa kecaman dan penghinaan yang dinyatakan kepada saya yang diterima melalui e-mel dan laman sosial.
MINGGUAN : Ada pandangan yang menyatakan jika anak-anak orang Cina masuk ke sekolah kebangsaan berkemungkinan tinggi mereka akan masuk Islam dan berkelakuan dan berfikir seperti orang Melayu. Apa pandangan Datuk?
TEO KOK SEONG : Saya pernah dengar dari mulut orang-orang Cina sendiri tentang kebimbangan ini namun ia bukanlah sesuatu yang logik untuk berlaku. Bagi saya hanya bersekolah di sekolah kebangsaan atau pandai berbahasa Melayu tidak boleh menjadikan anak-anak mereka ini masuk Islam atau menjadi seperti orang Melayu. Yang boleh adalah orang perempuan dan lelaki Melayu yang menjadikan mereka masuk Islam. Memang ada kebimbangan mereka takut anak-anak mereka ini di Melayu atau di Islamkan. Namun bagi saya ini adalah satu kebimbangan yang langsung tidak berasas dan ia lebih kepada andaian semata-mata. Yang menjadi masalah sikap berlebihan mereka dalam menegakkan bahasa dan jati diri Cina kerana kita perlu mengimbangi perkara ini dan bukan mengikut semata-mata hanya kerana mereka orang Cina. Kita hidup di Malaysia dan adalah perlu untuk mereka mengikut adat resam dan budaya tempatan dan berdiri sebagai satu bangsa yang berbangga dengan jati diri Malaysia tanpa perlu mengorbankan identiti sebagai orang Cina.
MINGGUAN : Tidakkah orang Cina perlu bersyukur dan berterima kasih kerana kerajaan begitu baik membenarkan sekolah vernakular ditubuhkan di negara ini kerana hakikatnya ia tidak wujud pun di negara lain?
TEO KOK SEONG : Bagi saya mungkin kita boleh katakan penubuhan sekolah vernakular di negara ini adalah sebahagian hak mereka di negara ini. Ia dijamin dalam keadaan tidak langsung di dalam Perlembagaan di mana bahasa-bahasa lain boleh diamalkan dan dipelajari dan tidak boleh dihalang kecuali untuk penggunaan maksud rasmi. Jadi secara tidak langsung orang Cina dan India ada hak dan saya kira hak sebegini tidak diberikan kepada orang Cina di negara lain. Ini sepatutnya dihargai oleh mereka dan perlu disyukuri. Tetapi malangnya seperti yang saya katakan tadi tidak ada pemimpin Cina yang mahu memberitahu tentang perkara baik ini maka mungkin sesetengah dari orang Cina ini mungkin tidak tahu betapa istimewanya mereka diberi hak sebegini.
Kenapa saya katakan ia umpama hak istimewa adalah kita boleh lihat sendiri di Indonesia bagaimana orang Cina di sana terpaksa menukar nama mereka mengikut nama Indonesia. Malah di Thailand bukan sahaja orang Cina tidak ada keistimewaan sebegini malah orang Melayu juga tidak mendapat keistimewaan ini. Orang Melayu di Selatan Thailand tidak diberi kebenaran untuk membuka sekolah Melayu dan hanya mempelajari bahasa Melayu secara tidak formal di sekolah-sekolah pondok. Malah kita boleh lihat anak-anak muda Melayu di Selatan Thailand tidak boleh berbahasa Melayu. Maka jati diri etnik Melayu dan Cina di Thailand sudah tidak ada walaupun jati diri nasional mereka begitu kuat. Maka di sini kita boleh melihat negara Thailand dan Indonesia begitu berjaya dalam meningkatkan jati diri rakyat mereka terutama di kalangan minoriti. Jadi saya lihat Malaysia adalah sebuah negara yang istimewa kerana memberi kebebasan di kalangan rakyatnya terutama dalam soal mempertahan budaya asal namun janganlah sehingga berlebihan atau over protective.
MINGGUAN : Satu isu yang menimbulkan tandatanya adalah kenapa orang Cina di negara ini begitu takut anak mereka masuk Islam dan jadi Melayu. Tetapi mereka tidak berpandangan sedemikian jika menetap Barat dan tidak kisah anak mereka menjadi atau berkelakuan seperti orang Barat ataupun menukar agama kepada Kristian?
TEO KOK SEONG : Memang benar. Mereka bersedia untuk mengasimilasi dengan orang Barat tetapi di sini mereka tidak bersedia malah akan menolak untuk mengasimilasi. Malah sebenarnya kerajaan selama ini pun tidak pernah memaksa orang Cina mengasimilasi dengan orang Melayu. Negara ini ditubuhkan pada peringkat awal kemerdekaan atas dasar kemajmukan etnik dan keragaman budaya. Maksudnya kita mengakui kewujudan pelbagai bangsa di negara ini dan membenarkan semua bangsa-bangsa ini wujud secara terpisah dan cuba menyatukan mereka melalui sistem pendidikan.
Walaupun wujud sekolah vernakular tetapi di peringkat sekolah menengah semua kaum ini akan bercantum kembali. Tetapi nampaknya sudah terlalu lewat bagi kanak-kanak yang sudah berusia 13 tahun ini kerana usaha perpaduan itu tidak begitu dirasai. Walaupun Dong Zong menyatakan sukatan pelajaran adalah sama dengan sekolah kebangsaan tetapi akibat penggunaan bahasa yang berbeza maka ia membentuk perwatakan dan jati diri yang berbeza. Sudah tentu hasilnya lain macam kerana tidak ada persefahaman sebenar kerana penggunaan bahasa yang berbeza. Seharusnya sekolah satu aliran atau sekolah wawasan adalah jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah ini tetapi melihat kepada keadaan sekarang terutama selepas PRU-13, usaha ini kelihatannya sudah agak mustahil. Apatah lagi semua parti politik Cina tidak ada semangat mahu memperkasakan perkara ini maka usaha membentuk satu jati diri kebangsaan sudah semakin sukar apatah lagi dalam keadaan politik yang sudah menjadi pelbagai acuan.
MINGGUAN : Mungkin Datuk ada pandangan tentang bentuk penyelesaian kepada masalah ini?
TEO KOK SEONG : Kalau kita benar-benar sayang kepada tanah air ini sudah sampai masanya kita duduk semeja dan lihat kembali serta bertanya bagaimana mahu menyelesaikan masalah ini untuk keharmonian dan perpaduan semua golongan masyarakat tanpa mengira agama dan kaum. Saya melihat kita perlu memanfaatkan sistem yang ada sekarang ini. Ini kerana jika kita mencadangkan usul baharu kita boleh lihat bagaimana respons dari Dong Zong dan lain-lain yang langsung tidak mahu menerima sehingga ia mampu memudaratkan hubungan yang kini sudah tidak berapa harmoni lagi. Malah Dong Zong ini sememangnya tidak pernah mahu bersetuju dan sering prejudis dan selalu curiga tentang hasrat kerajaan yang mahu mengharmonikan semua kaum. Mereka sering menganggap usaha kerajaan ini adalah agenda kerajaan untuk menghakis sekolah dan bahasa Cina.
Ini menunjukkan seolah-olah wujud satu perasaan saling tidak mempercayai antara satu sama lain. Saya boleh katakan keadaan sekarang ini terlalu runcing umpama kita duduk serumah tetapi jika mahu ke bilik air walaupun bilik sudah berkunci tetapi masih membawa komputer riba ke bilik air kerana tidak percaya kepada rakan serumah. Soalnya bagaimana kita boleh bersatu padu dalam keadaan terlalu banyak sistem sekarang ini. Kalau boleh kita duduk semeja dan cari jalan untuk mengguna pakai cara yang diterima semua. Mungkin pihak Dong Zong sendiri boleh memberi cadangan bagaimana mahu mengendurkan ketidakpercayaan sesama kaum ini.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
Hasil Perbincangan Spontan Dalam Program Minggu Bahasa Melayu
SMK Sijagkang Jaya
- Kesan Amalan Budi
Bahasa
Ø Melahirkan
masyarakat penyayang – keharmonian hidup bermasyarakat lebih harmoni. Yang tua
disayangi, yang muda dikasihi – memberi tempat duduk kepada warga tua dalam
pengangkutan awam yang penuh sesak.
Ø Dapat
mewujudkan semangat seia sekata dan sederap melangkah dalam kehidupan –
masyarakat saling membantu dalam pelbagai hal seperti kenduri kendara, majlis
perkahwinan dan hal kematian atau sakit demam.
Ø Membentuk
generasi berakhlak mulia dan berpekerti terpuji – menjadi suri teladan kepada
orang lain sama ada rakan sebaya, yang lebih tua mahupu yang sudah tua.
- Langkah-langkah
Melahirkan Modal Insan.
Ø Memberi
didikan agama yang mantap dan mencukupi- mampu membezakan antara dosa dan pahala
, membezakan yang betul dan ang salah.
Ø Pengawasan
yang berterusan daripada ibu bapa – anak-anak akan dapat membina kehidupan yang
sempurna, dapat mencegah keburukan dan melahirkan generasi yang kamil.
Ø Dasar
pendidikan yang mantap dan menyeluruh – dapat melahirkan generasi yang
berwawasan, berketrampilan dan seimbang dari segi jasmanai, emosi rohani dan
ntelek
- Kepentingan Rukun
Negara.
Ø Menyemai
rasa sayang kepada Negara – berpegang teguh kepada prinsip di mana bumi
dipijak, di situ langit dijunjung. Supaya keharmonian dalam masyarakat dapat
diwujudkan.
Ø Untuk
memastikan semua rakyat mematuhi undang-undang yang telah digubal oleh
kerajaan. Semua rakyat akan berasa selamat kita berada di Negara ini.
Ø Melahirkan
masyarakat yang berpegang teguh kepada agama. Semua agama mengajak umatnya
melakukan kebaikan dan menjauhi keburukan. Masyarakat yang berpegang pada
agama, lebih bertolerasi dalam kehidupan.
- Kepentingan Akhlak Mulia.
Ø
Masyarakat akan menghormati dan memandang tinggi
pekerti kita. Akan dhormati dan menjadi sur teladan.
Ø
Dapat menjaga maruah diri dan keluarga – keluarga akan
dijadikan contoh kerana berjaya mendidik dengan sempurna.
Ø
Melahirkan generasi yang mempunyai cara hidup yang
sihat dan baik. Idak terlibat dalam masalah social.
- Usaha-usaha Memperkasakan
Bahasa.
Ø Mengadakan
kempen/program tentang sayangi bahasa – mengadakan pelbagai aktiviti yang
menarik untuk merangsang masyarakat menggunakan bahasa dengan betul.
Ø Kerajaan
menyediakan peruntukan khas untuk memartabatkan bahasa terutama di sekolah.
Penyediaan bahan yang oleh menarik minat elajar untuk menguasai bahasa dengan
lebih baik.
Ø Menguatkuasakan
peraturan penggunaan bahasa yang betul dalam iklan, media massa dan juga ucapan
pemimpin – supaya bahasa yang betul digunakan dalam kehidupan seharian.
- Kepentingan Pendidikan
Cemerlang
Ø Melahirkan
masyarakat yang berilmu untuk memajukan Negara – Negara akan menjadi maju dan
standing dengan Negara-negara lain.
Ø Menyediakan
sumber tenaga manusia yang produktif dan berdaya saing untuk membangunkan
Negara – Negara akan terus berkemang maju tanpa mengharapkan sumber tenaga
luar.
Ø Membangunkan
system pendidikan Negara – menjadikan Negara Malaysia sebagai Negara
pelancongan pendidikan – dapat memajukan ekonomi Negara dengan kemasukan
penuntut asing.
- Langkah-langkah
Melestarikan Alam Sekitar.
Ø Memastikan
barangan yang tidak digunakan lagi diasingkan untuk dikitar semula –
mengelakkan pencemaran terhadap alam sekitar.
Ø Mengadakan
kempen sayangi alam sekitar atau kempen menghijaukan bumi – meimbulkan
kesedaran kepada masyarakat untuk menjaga alam sekitar
Ø Mengadakan
subjek alam sekitar diperingkat sekolah rendah dan menengah untuk memastikan
proses melestarikan alam dimantapka dalam diri masyarakat.
Ø Mengenakan
tindakan tegas kepada pihak yang mencemarkan alam sekitar.
- Kesan Sayangi
Keluarga
Ø Mewujudkan
hubungan mesra dalam kalangan ahli keluarga. Timbul rasa saying menyayangi dan
kasih saying yang erat.
Ø Dapat
berkongsi kegembiraan dan kedukaan secara bersama-sama. Permasalahan keluarga
dapat ditangani secara bijak.
Ø Dapat
mengawal kegiatan dan tingkah laku anak-anak yang tidak baik – anak-anak akan
berasa dikasihi dan diberi perhatian setiap masa.
- Kepentingan Jati Diri.
Ø Menimbulkan
keberanian untuk melakukan sesuatu perkara di luar kebiasaan dan perkara yang
tidak dijangka.
Ø Dapat
membina kehidupan yang lebih bermakna dan baik – kita akan mencuba sesuatu yang
dihajati.
Ø Mendapat
sanjungi dan penghormatan daripada masyarakat apabila sesuatu kejayaan itu
dapat dikecapi.
- Kebaikan Permainan
Tradisional.
Ø
Memupuk samangat kerjasama secara sepasukan – menanam
nilai murni dalam kehidupan.
Ø
Memelihara budaya warisan turun temurun daripada pupus
ditelan zaman – permainan tradisional mempunyai keunikan tersendiri.
Ø
Mengelakkan diri dari terlibat dalam gejala negative –
masyarakat dapat mengisi masa lapang dnegan aktiviti bersama yang menarik.
- Usaha-usaha Memupuk Budaya
Membaca.
Ø Ibu bapa
menjadi suri teladan yang boleh dicontohi oleh anak-anak – ibu bapa membaca
buku bersama dengan ahli keluarga.
Ø Kerajaan
megurangkan cukai terhadap buku-buku – harga buku akan menjadi lebih murah dan
masyarakat boleh membeli buku bacaan yang disukai dalam kuantiti yang lebih
banyak,
Ø Kerajaan
menyediakan lebih banyak perpustakaan bergerak dan perpustakaan desa bagi
memudahkan masyarakat memperoleh bahan bacaan.
Ø Kempen
galakan membaca perlu diperhebatkan untuk menimbulkan kesedaran dalam
masyarakat.
- Kepentingan Semangat
Perpaduan.
Ø
Melahirkan masyarakat yang harmoni, faham-memahami dan
boleh bekerjasama dalam semua hal.
Ø
Dapat membina kemajuan Negara secara bersama-sama dan
berkongsi kekayaan Negara tanpa ada rasa prejudis dan bersangka buruk.
Ø
Menjaga kestabilan politik, ekonomi dan keselamatan
masyarakat- tidak timbul rasa dengki, cemburu dan rasa terabai oleh mana-mana
kaum.
- Kebaikan Amalan Gaya
Hidup Sihat.
Ø Dapat
menyihatkan tubuh badan – pemakanan seimbang, tidak merokok, bersenam, tidak
terlibat dalam masalah social dapat menghindari pelbagai penyakit.
Ø Menjadikan
diri kita sentiasa cergas pada setiap masa – pemakanan yang seimbang dan
senaman dapat mencergaskan minda dan peredaran darah lebih sempurna
Ø Menghilangkan
tekanan kerja – aktiviti bersenam dan bermain dapat melupakan permasalahan
dalam hidup.
- Usaha-usaha
Meningkatkan Kecemerlangan Sukan Negara.
Ø Latihan
yang sistematik dan tersusun – kemahiran dan pengetahuan dapat diajar dengan sempurna
kepada atlet.
Ø Menyediakan
kemudahan/parasarana sukan yang lengkap dan bertaraf dunia – membiasakan atlet
dengan persekitaran yang sebenarnya.
Ø Menyediakan
jurulatih yang professional dan berkelayakan – kemahiran dan pengetahuan
bertaraf dunia dapat diajar kepada atlet.
Ø Menyediakan
pasukan pelapis supaya atlet dapat berlatih lebih lama dan dapat mempelajari
teknik, kemahiran dalam sesuatu permainan.
- Kepentingan Semangat
Kejiranan.
Ø Dapat
membantu ketika jiran mengalami kesulitan dan kemalangan – memantau rumah jiran
jika jiran tiada di rumah.
Ø Dapat
melahirkan perpaduan dalam kalangan jiran tetangga – mengamalkan sikap
toleransi dalam kehidupan.
Ø Mewujudkan
masyarakat bagai aur dengan tebing dalam kehidupan – susah dan senang dikongsi
bersama.
- Punca-punaca
Kemalangan Jalan Raya.
Ø Tidak
mematuhi peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan – memandu laju,
melanggar lampu isyarat, memotong di garisan berkembar dan sebagainya.
Ø Keadaan
permukaan jalan yang berlubang-lubang, tidak rata, berselekoh dan licin –
kenderaan sukar dikawal jika permukaan jalan tidak baik.
Ø Sikap
tidak berhemah pemandu jalan raya – tidak bertimbang rasa, mengejar masa,
mementingkan diri sendiri dan sebagainya.
- Kepentingan Makanan
Seimbang.
Ø Membekalkan
semua zat yang diperlukan oleh tubuh badan – badan menjadi lebih sihat.
Ø Dapat
mencegah daripada pelbagai penyakit seperti darah tinggi, kencing manis-
kandungan garam dan gula dalam makanan tinggi,
Ø Menghalang
daripada kuman/virus menyerang tubuh badan kita.
- Implikasi Dunia Tanpa
Sempadan.
Ø Masyarakat
akan terdedah kepada perkara-perkara negative yang boleh merosakkan akhlak dan
tingkah laku masyarakat.
Ø Mereka
yang tidak rajin dan tidak berilmu akan terus ketinggalam dalam perlumbaan
kehidupan.
Ø Masalah
social akan bertambah dalam kalangan remaja kerana dipengaruhi oleh
persekitaran yang tidak baik
- Manfaat Kebersihan
Diri.
Ø Terhindar
daripada pelbagai penyakit yang mungkin menyerang individu terbabit seperti
panau, kurap dan penyakit lain.
Ø Pergaulan
dengan masyarakat lebih baik – badan, pakaian kita terhindar dari bau busuk
yang menyebabkan rakan, guru tidak selesa.
Ø Menunjukkan
ketrampilan, kematangan dan kedewasan diri masyarakat.
- Langkah-langkah Sayangi
Warga Emas.
Ø
Menyediakan tempat tinggal yang selesa – membolehkan
warga emas mengakhiri kehidupan mereka di dunia dalam keadaan sempurna.
Ø
Menziarahi warga emas di hospital, rumah – melihat
keperluan mereka yang boleh diberi bantuan.
Ø
Memberikan keutamaan kepada warga emas terutama
apabila berurusan dikaunter.
- Kebaikan Sekolah Satu
Sesi.
Ø Lebih
banyak pengetahuan dan kemahiran yang boleh dipelajari.
Ø Membolehkan
pelbagai program dilakukan di sebelah petang kerana tidak menganggu proses PdP
pelajar sesi petang.
Ø Murid
dapat merancang sesuatu aktiviti dengan mengambil kira kerperluan untuk
aktiviti tersebut.
- Usaha-usaha
Memperkenalkan Makanan Tradisional.
Ø Mengadakan
festival makanan tradisional di peringkat daerah, negeri, kebangsaan dan
antarabangsa.
Ø Memperbaharu
kaedah pembungkusan makan tradisonal agar lebih menarik.
Ø Mempelbagai
penghasilan produk hasil daripada makanan tradisonal.
- Usaha-usaha Mewujudkan
Pendidikan Cemerlang.
Ø Menyediakan
jadual pembelajaran yang konsisten dan dipatuhi.
Ø Bertanya
kepada guru setiap kali mengalami masalah dalam pembelajaran.
Ø Menghadiri
pelbagai klinik motivasi untuk memantapan minda dan berubah dari kejahatan
kepada kebaikan.
- Kepentingan Memperkasakan
Wawasan Remaja.
Ø Untuk
melahirakan sumber tenaga manusia yang produktif dan beramanah.
Ø Remaja
akan merasai diri mereka dihargai dan dihormati oleh masyarakat.
Ø Lahirlah
masyarakat yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia dan betimbang rasa.
ISU PENDIDIKAN : Pendidikan bukan untuk lahirkan 'robot pintar'
SHAH ALAM : Matlamat pendidikan bukan sekadar melahirkan 'robot pintar' sebaliknya pendidikan berperanan 'memanusiakan manusia'.
Bagi mencapai matlamat ini, pendidikan seharusnya menjadikan cinta sebagai asas kerana cinta diyakini mampu memberikan kekuatan kepada manusia untuk saling memberi.
Seperti mutiara kata daripada cendekiawan Hamka, 'Cinta bukan mengajar kita lemah, tetapi membangkitkan kekuatan'.
Itu antara intipati Forum Pedagogi Pendidikan Cinta anjuran sukarelawan Teach For The Needs (TFTN) yang diadakan di Kompleks Karangkraf, dekat sini malam tadi.
Pedagogi merujuk kepada kaedah pengajaran dan TFTN cuba membawakan kaedah pengajaran baharu yang berasaskan cinta kerana yakin hanya pendidikan cinta mampu melahirkan masyarakat yang seimbang dari segi akademik dan nilai-nilai kemanusiaan.
Forum malam tadi menampilkan tiga panelis iaitu pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Dr Maszlee Malik, yang juga aktivis masyarakat, Pakar Perunding Obstetriks & Ginekologi, Dr Harlina Siraj yang juga pendakwah bebas dan penulis buku best seller 'Aku Terima Nikahnya' Hasrizal Jamil yang juga penceramah bebas manakala moderatornya ialah pengarah eksekutif TFTN, Anas Alam Faizli.
Gabungan mantap panelis berpengalaman dan dikenali ramai itu menghidupkan perbincangan seputar pendidikan cinta hampir dua jam beserta sesi soal jawab daripada hadirin.
Panelis turut menekankan, pendidikan cinta mampu menyelesaikan masalah penindasan sesama manusia, meningkatkan tahap keyakinan diri sendiri dan sikap cintakan ilmu pengetahuan.
Ustaz Hasrizal menekankan, sikap ibu bapa yang terlalu mahukan anak-anak mereka cemerlang dalam pelajaran akhirnya melahirkan robot yang tiada roh kemanusiaan.
"Apabila kita hilang sifat kemanusiaan kita akan jadi robot, pendidikan cinta adalah untuk memanusia kembali manusia.
"Pedagogi pendidikan cinta bergantung kepada bagaimana kita memandang manusia lain di sekeliling," katanya yang juga dikenali dengan nama Saiful Islam.
Dr Harlina pula menegaskan, pendidikan bukan hanya bergantung kepada berapa 'A' yang diperoleh dalam peperiksaan tetapi harus menekankan lima aspek iaitu akidah, akhlak, aqliah, jasmaniah dan insaniah.
Pendidik pula katanya, harus mempunyai sifat ikhlas mengajar untuk belajar, bukan sekadar untuk memberitahu.
"Guru yang bagus ialah guru yang mampu mencetuskan inspirasi kepada pelajar-pelajarnya.
"Guru yang bersemangat mengajar sebenarnya punyai sifat ingin belajar dan sebenarnya dia lebih banyak belajar sewaktu dia mengajar," katanya.
Dr Maszlee pula berpandangan, pendidikan hari ini terlalu dikomersilkan sehingga melahirkan pelajar yang meminta-minta pekerjaan.
"Sistem pendidikan sekarang yang dirosakkan oleh politik dan komersil melemahkan pelajar sehingga melahirkan graduan yang meminta-minta pekerjaan, bukan mencipta peluang pekerjaan," katanya.
Sumber : http : //bmharakahdaily.net/